ULASAN ARTIKEL


ULASAN ARTIKEL

Sebagaimana moto warga kerajaan Berkhidmat Untuk Negara, kami para penjawat awam bersedia memberi khidmat yang terbaik buat rakyat melangkaui tugas hakiki. Selain memaksimumkan peranan penjawat awam kepada masyarakat, aktiviti sebegini juga mampu membentuk keperibadian unggul di kalangan warga penjawat awam. Program yang berkonsepkan hari terbuka perpustakaan itu menyelitkan aktiviti gotong-royong mengindah dan menghidupkan perpustakaan desa sedia ada. Selain itu, pertandingan mewarna dan mengarang karangan bertajuk, Perpustakaan Idamanku turut direncanakan bagi mewujudkan kecintaan kepada perpustakaan seawal usia. Dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara penjawat awam dan penduduk kampung.

Konsep “Perpustakaan Rumah Keduaku”, mampu menjalankan peranan membantu kerajaan dalam menurunkan kadar jenayah dan gejala sosial, di samping menjadi pusat pertemuan serta pusat tumpuan masyarakat. Dengan harapan kewujudan perpustakaan awam akan digunakan sepenuhnya oleh seluruh masyarakat kerana perpustakaan itu memang dibina untuk rakyat dengan segala keperluan tersedia. Selain daripada itu dapat mewujudkan suasana ilmu di kalangan penduduk Kampung Bukit Bangkong, Sepang terutama kanak-kanak dan remaja. Dengan adanya perpusatakaan ini membolehkan mereka membuat rujukan dan percambahan pengetahuan dalam pelbagai cabang ilmu. Disamping itu juga akan mengurangkan aktiviti kurang sihat dikalangan pelajar sekolah dan belia khususnya.

Penyediaan kemudahan perpustakaan awam yang mencukupi adalah perlu bagi  mewujudkan masyarakat yang berbudaya membaca dan berilmu, sebagaimana dihasratkan oleh kerajaan. Perkhidmatan perpustakaan awam yang disediakan dikendalikan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam negeri dengan kerjasama Kerajaan Tempatan. Dasar pelaksanaan perkhidmatan perpustakaan dan maklumat adalah melalui penyediaan dan pembekalan pelbagai jenis sumber maklumat serta menggalakkan penggunaannya secara meluas.

Kewujudan perpustakaan mewujudkan integrasi minat membaca di kalangan masyarakat dan berlakunya proses menginstitusikan budaya membaca di dalam sistem pemerintahan negara. Menelusuri perkembangan perpustakaan sebagai institusi kecemerlangan umat, maka kita perlu memperkasa dan mempertingkatkan lagi fungsi perpustakaan sewajarnya di negara kita. Perpustakaan adalah khazanah dan aset negara yang amat berharga serta perlu diberikan pembelaan sepenuhnya. Di samping kewujudan Perpustakaan Negara Malaysia, kita memiliki perpustakaan awam hampir di setiap negeri termasuklah perpustakaan daerah, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak. Namun begitu, kebergantungan kepada institusi ini tidak cukup dan ini menuntut semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta perlu mewujudkan perpustakaan di premis masing-masing. Melalui kemudahan perpustakaan ini diharapkan dapat membantu usaha kerajaan membimbing dan membentuk masyarakat yang sihat dan bermaklumat.

Pusat dan agensi peranginan, hotel, pusat rekreasi dan percutian juga perlu menyediakan kemudahan perpustakaan kepada pelanggan mereka di samping bercuti, mereka juga dapat menambah ilmu pengetahuan di mana sahaja mereka berada serta pada bila-bila masa. Di samping itu kompleks beli belah, hipermarket seperti Tesco, Giant, Carrefour, Makro dan sebagainya juga digalakkan menyediakan kemudahan yang sama walaupun terdapat banyak kedai buku besar yang menyediakan kemudahan membaca dan merujuk buku secara percuma.

Pejabat-pejabat kerajaan, syarikat korporat, lapangan terbang, hendaklah menjadi contoh dan model penting menjadikan perpustakaan sebagai prasarana utama dalam proses pentadbiran dan pengurusan mereka. Dengan adanya perpustakaan kemudahan menyimpan pelbagai koleksi maklumat dan menyediakan perkhidmatan dapat dilakukan seperti buku, majalah, jurnal dan sebagainya. Gudang maklumat ini juga dapat menghimpun sumber bercetak, tidak bercetak dan elektronik untuk kegunaan syarikat dan rujukan orang ramai yang berminat terutamanya pelajar dan penyelidik.

Masjid dan surau juga wajar menyediakan kemudahan perpustakaan untuk kemudahan ahli jemaah dan kariah setempat. Tradisi Islam membuktikan perpustakaan telah memainkan peranan yang cukup penting dan merupakan pusat maklumat dan ilmu pengetahuan yang cukup berkesan. Buku, jurnal, majalah dan bahan ilmu lain tidak semestinya bersifat keagamaan semata-mata tetapi perlu dipelbagai merangkumi ekonomi, teknologi, pendidikan, sosial, sains dan sebagainya.

Perpustakaan mencerminkan keadaan tahap sosio ekonomi, sosial dan budaya serta taraf pendidikan negara dan masyarakat di Malaysia secara langsung. Negara dan masyarakat yang bertamadun dan memiliki budaya menghargai ilmu pengetahuan perlu menterjemahkannya kepada pembangunan perpustakaan dan sebagai permulaan, maka setiap dari kalangan kita perlu memiliki sekurang-kurang perpustakaan peribadi di rumah dan bilik pejabat masing-masing.
Dalam konteks Islam, semua orang Islam adalah bersaudara. Tanpa mengira etnik, warna kulit, pertuturan dan sebagainya. Apabila wujud konsep persaudaraan Islam dalam jiwa setiap muslim, maka akan lahir sifat ikhlas, belas kasihan dan sebagainya. Sifat persaudaraan tanpa mengira etnik dan warna kulit ini akhirnya menjadikan umat Islam satu kesatuan. Natijahnya umat Islam akan digeruni dan dihormati oleh semua pihak.
Apabila wujud persefahaman di antara anggota masyarakat,maka ia akan melahirkan konsep tolong-menolong dan bekerjasama dalam satu-satu aktiviti. Konsep bekerjasama dan tolong-menolong antara etnik bukan hanya menguntungkan satu etnik sahaja tetapi juga seluruh masyarakat.
Aktiviti berpersatuan dan khidmat masyarakat mempunyai peranan yang penting dalam menggalakkan penyertaan dan pengalaman bersama antara kaum. Oleh itu, galakan kepada aktiviti seperti ini perlu diberikan dengan kerjasama rapat pihak kerajaan dan sektor swasta.


RUMUSAN
Program Perpustakaan Rumah Keduaku telah berjaya dilaksanakan dan mendapat banyak maklum balas yang positif daripada orang ramai. Mereka mengharapkan program seperti ini dapat diadakan setiap tahun bagi menggalakkan minat membaca di kalangan orang ramai dan menarik lebih ramai orang mengunjungi perpustakaan. Ilmu bukan sahaja berkaitan dengan buku, tetapi banyak cara untuk kita menyemarakkan lagi budaya ilmu ini dengan menyelitkan permainan dalam pencarian ilmu ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan