Bab 3 CTU



BAB 3
PERLEMBAGAAN MALAYSIA DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK
Selepas mempelajari bab ini pelajar dapat:
n  Menjelaskan faktor British memperkenalkan Malayan Union dan penentangan rakyat Tanah Melayu terhadap Malayan Union
n  Menjelaskan Konsep Perlembagaan Persekutuan dan sejarah pembentukannya
n  Menghuraikan unsur-unsur tradisi Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial

3.1 PENGENALAN
       Perlembagaan merupakan sebuah dokumen yang mengandungi undang-undang tertinggi yang menjadi dasar dan panduan dalam pemerintahan sesebuah negara.
       Dalam konteks negara Malaysia, perlembagaan mengandungi beberapa peruntukan yang berkaitan dengan  corak pemerintahan negara, kewarganegaraan, agama,  bahasa kebangsaan, kewangan, kehakiman, kewarganegaraan, hak asasi , pilihanraya dan sebagainya (Salleh Abbas : 2).


3.2 KONSEP PERLEMBAGAAN
       Definisi perlembagaan: ”Satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting untuk melicinkan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara” (Hubungan Etnik Di Malaysia, Oxford Fajar). Manakala Salleh Abbas mendefinisikan perlembagaan “suatu suratan atau surat cara yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang difikirkan mustahak bagi menubuhkan sebuah negara yang moden. Undang-undang tertinggi inilah yang menjadi punca bagi semua undang-undang, sama ada yang sudah atau yang akan dibuat” (Salleh Abbas : 2).
       Perlembagaan terbahagi dua iaitu perlembagaan bertulis dan tidak bertulis.
       Perlembagaan bertulis adalah perlembagaan yang dikumpul dan disusun dalam satu dokumen, contohnya perlembagaan Malaysia. Perlembagaan bertulis boleh dipinda bagi memenuhi tuntutan semasa menerusi proses parlimen (Perkara 159 dan 161E).  Manakala perlembagaan tidak bertulis adalah perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu dokumen. Ianya merupakan undang-undang yang diputuskan oleh parlimen dan keputusan-keputusan mahkamah dan pandangan serta pendapat para ilmuan undang-undang (jurist) yang terkemuka, contohnya perlembagaan negara Brittain. Ini adalah kerana masyarakat Brittain merasakan kehidupan mereka terjamin oleh konvensyen perlembagaan mereka dan kebijaksanaan mahkamah mereka (Salleh Abbas : 3).

3.3   KONSEP KETERTINGGIAN PERLEMBAGAAN
·         Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia, yang menjadi punca kepada semua undang-undang samada yang sudah digubal mahu pun yang bakal digubal. Semua undang mestilah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya wujud percanggahan maka ianya akan terbatal dengan sendirinya.
  • Badan eksekutif, legislatif dan kehakiman, malah YDPA juga memperoleh kuasa daripada perlembagaan. Dengan lain perkataan, kesemua badan tersebut tertakluk kepada undang-undang.
•     Perlembagaan Malaysia mengandungi 15 bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual. Secara ringkasnya ia menyentuh bidang kuasa eksekutif, legislatif, kehakiman, kedudukan agama Islam, kewarganegaraan, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak dll.
  • Perlembagaan berperanan untuk menubuhkan negara, menentukan bentuk pemerintahan, menentukan had-had kuasa pemerintah,  menjaga dan mendokong hak asasi serta  membahagikan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman serta antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri di samping sebagai tempat rujukan tertinggi bagi mahkamah.
•     Tiap-tiap negeri di Malaysia juga ada perlembagaan atau Undang-undang Tubuh masing-masing yang menentukan corak pemerintahan negeri berkenaan.
3.4 TUJUAN PERLEMBAGAAN
  1. Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil.
      • Kemasukan hak istimewa Orang Melayu, agama Islam (perkara 3 (1) dan bahasa Melayu (perkara 152) adalah untuk berlaku adil kepada penduduk peribumi Negara ini.
  2. Mengelakkan penyalahgunaan kuasa
      • Terdapat beberapa peruntukan khas kepada YDPA dan raja-raja Melayu. Walau pun mereka mempunyai bidang kuasa tertentu, tetapi segala tindakan mereka tertakluk kepada (Bahagian 4, Bab 3, Perkara 40). Maka dengan ini dapat mengelak penyalahgunaan kuasa.
  3. Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat
    1. Perlembagaan bukan sahaja peruntukkan kuasa kepada pemerintah, tetapi juga kepada rakyat (Bahagian 2, Perkara 5-13). Ini dapat mengelakkan dominasi kuasa oleh pihak tertentu.
  4. Menjamin keamanan dan kestabilan negara
    1. Melalui sekatan-sekatan dalam perlembagaan yang mengasasi pergerakan setiap warganegara (Bahagian 2, Perkara 10).
3.5 SEJARAH PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN
       British kembali semula ke Tanah Melayu pada bulan september 1945 dan menubuhkan British Militery Administration (BMA), iaitu selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
       Usaha untuk mewujudkan perlembagaan bagi Tanah Melayu bermula apabila British merancang untuk menggabung semua negeri di Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai Malayan Union.
       Penubuhan Malayan Union pada dasarnya adalah untuk menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.
       Walau pun ianya ditentang hebat oleh orang Melayu, namun gagasan tersebut tetap diteruskan di mana Malayan Union diluluskan oleh British pada 10 Okt 1945.
       Bagi menjayakan gagasan tersebut, Sir Harold Mac Micheal ditugaskan untuk mendapatkan tandatangan Raja-Raja Melayu. Malayan Union diistiharkan pada 1 April 1946 di King’s House (Carcosa Seri Negara) Kuala Lumpur dengan Sir Edward Gent sebagai gabenor pertama.

3.6 FAKTOR MALAYAN UNION DIPERKENALKAN
  1. Menyatukan negeri-negeri dan mempertingkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran kerana negeri Melayu bersekutu dan tidak bersekutu pada masa itu memerlukan perbelanjaan yang besar. Sebelum PDII, Tanah Melayu terbahagi kepada tiga sistem pentadbiran yang berbeza iaitu Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Kepelbagaian sistem ini memakan kos yang tinggi dan ini menyebabkan pembangunan ekonomi tidak seimbangan antara satu negeri dengan negeri yang lain.
  2. British menyimpan dendam terhadap Orang Melayu yang telah dikatakan telah memberi sokongan kepada Jepun dalam PDII. Dengan pembentukan Malayan Union, British berharap orang Melayu akan menumpukan taat setia kepada Malayan Union dan orang bukan Melayu akan melupakan negara asal mereka. Ia akan menjamin kepesatan pembangunan ekonomi Malayan Union.
  3. Bagi menyediakan Tanah Melayu ke arah pemerintahan sendiri apabila Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan satu masa nanti.
3.7 CIRI-CIRI MALAYAN UNION
  1. Malayan Union mengandungi sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka
  2. Singapura kekal sebagai tanah Jajahan British dan ditadbirkan oleh seorang Gabenor.
  3. Pentadbiran Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor British, dan  ianya dibantu oleh dua buah majlis iaitu Majlis eksekutif dan Majlis Legislatif.
  4. Kedaulatan Raja-raja Melayu dihapuskan kecuali dalam adat dan agama Islam sahaja.
  5. Hak kerakyatan sama bagi semua tanpa mengira etnik menerusi konsep jus soli. Melalui konsep ini etnik imigran yang layak mendapat taraf warga negara ialah:
§  berumor 18 tahun atau lebih dan telah menetap di Tanah Melayu selama 10 daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942, dan
§  Mereka yang lahir di Tanah Melayu selepas penubuhan Malayan Union.
3.8 PENENTANGAN ORANG MELAYU TERHADAP MALAYAN UNION
q  Sebab penentangan:
1.       Pemerintahan negeri Melayu diletakkan di bawah gabenor British.
2.       Penghakisan kuasa raja-raja Melayu. Mereka berkuasa hanya pada agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.  Orang Melayu sukar menerima konsep pemerintahan Malayan Union kerana mereka menganggap raja-raja Melayu adalah pelindung mereka. Pada mereka raja-raja Melayu adalah lambang kekusaan orang Melayu, hilangnya kuasa raja-raja Melayu  bermakna lenyapnya kuasa orang Melayu.
3.       Cara British mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dengan cara paksaan dan ugutan. Sebagai contoh Sir Harold MacMichael mengugut Sultan Badlishah Kedah akan kehilangan kuasa sekiranya baginda enggan menandatangi persetujuan perjanjian untuk menubuhkan Malayan Union.
4.       Kebanyakan sultan tidak diberi masa yang cukup untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri seperti mana yang terjadi kepada Sultan Perak.
5.       Hak kerakyatan diberikan kepada bukan Melayu. Mereka bimbang pemberian kerakyatan yang begitu mudah akan mengancam status quo orang Melayu dan akan membawa kesan politik dan ekonomi orang Melayu. Kebimbangan mereka ini ada rasionalnya kerana pada tahun 1947 orang Melayu hanya mewakili 47.46% dari jumlah penduduk Tanah Melayu .
q  Penentangan Orang Melayu terhadap Malayan Union adalah dalam pelbagai bentuk antaranya melalui media massa (Utusan Melayu, Majlis, Saudara, Warta Malaya) dan melalui organisasi (Persatuan Melayu Singapura, Persatuan Melayu Selangor, Kesatuan Melayu Muda dan sebagainya)Nazaruddin, p.30. Di Alor Star, lebih 50,000 orang Melayu telah mengadakan demonstrasi pada Januari 1946, di Kelantan 10,000 orang telah berdemonstrasi pada 15 Disember 1945 bilamana Mac Michael tiba untuk mendapat tandatangan Sultan Kelantan, manakala  di Johor pula  lebih 15,000 mengadakan demonstrasi pada 10 Februari 1946. Tentangan orang Melayu terhadap Malayan Union telah menyebabkan British mengambil keputusan untuk membubarkan Malayan Union.
q  Penentangan terhadap Malayan Union bukan sahaja datang dari orang Melayu tetapi juga dari bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, R.O. Winstedt, George Maxwell dan Cecil Clementi. Mereka telah menyuarakan pandangan mereka melalui media di London supaya British menjaga kepentingan dan hak istimewa orang Melayu.
q  Walau bagaimana pun terdapat juga sebilanngan kecil orang Melayu dan parti politik yang menyokong pembentukan Malayan Union. Kebanyakan mereka ini terdiri daripada golongan Melayu radikal. Antaranya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf dan Angkatan Wanita Sedar.
q  Tentangan beberapa pihak diatas telah menyebabkan British bersetuju untuk membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.

PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
q  Selepas pembubaran Malayan Union, British telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja bagi merangka perlembagaan baru bagi menggantikan perlembagaan Malayan Union. Jawatankuasa tersebut terdiri dari 6 orang pegawai British, 4 orang wakil Raja-raja Melayu dan 2 orang wakil Umno.
q  Jawatankuasa Kerja tersebut telah membuat beberapa cadangan, antaranya:
i.         Mengekalkan kuasa dan daulat raja-raja Melayu
ii.       Mengetatkan syarat pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu
iii.      Mengekalkan hak istimewa orang Melayu
q  Walau bagaimana pun beberapa pihak telah menolak cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kerja tersebut, antaranya:
»      All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang dipimpin oleh Tan Cheng Lock menyarankan beberapa perkara:
      Penyatuan negeri termasuk Singapura
      Pemerintahan oleh sebuah badan legislatif pusat dan ahlinya dipilih oleh rakyat
      Taraf kewarganegaraan yang sama untuk semua
»      PUTERA yang dianggotai oleh Angkatan Pemuda Insaf (API), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), mahukan:
      Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi
      Hubungan luar dan pertahanan adalah di bawah tanggungjawab bersama antara kerajaan Malaya dan British
      Perkataan “Melayu” digunakan untuk kerakyatan Malaya
      Warna pada bendera mestilah menggunakan warna kebangsaan Melayu

q  1 Februari 1948 British isytiharkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Ciri-cirinya:
q  Persekutuan Tanah Melayu terdiri dari 9 buah negeri Melayu dan 2 buah negeri Selat. Singapura kekal sebagai sebuah tanah jajahan British.
q  Kerajaan Persekutuan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerja.
q  Penubuhan Majlis Raja-raja Melayu untuk menasihati Pesuruhjaya Tinggi British.
q  Orang Melayu diberi hak istimewa
q  Syarat kewarganegaraan diperketatkan. i.e orang yang layak memohon mestilah lahir di Tanah Melayu dan bermestautin selama 8 daripada 12 tahun sebelum permohonannya dan mempunyai pengetahuan B. Melayu atau Inggeris dengan baik.
3.9 HUBUNGAN ETNIK SEBELUM MERDEKA
q  Perpaduan dan hubungan antara etnik merupan satu permasalahan besar. Ini adalah disebabkan penduduk negara ini bukan sahaja terdiri dari berbilang etnik abahkan juga berbilang budaya, adat agama dan bahasa. Masing-masing ingin menjadikan bahasa ibunda, agama, adat budaya masing-masing sebagai teras dalam pembentukan negara.
q  British cuba menyelesaikan permasalah ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum pada tahun 1949 (Comunities Liason Committee-CLC) sebagai medan perbincangan dan pemyelesaian apa jua masalah perkauman. Ini termasuklah masalah kewarganegaraan, politik, ekonomi, pendidikan,ekonomi dan sebagainya. Oleh itu penubuhan jawatankuasa ini dianggap amat bermakna dan dan bertindak sebagai forum dalam menyemai semangat tolak ansur antara etnik demi kemajuan dan keamanan negara.
q  Semangat tolak ansur antara etnik tersebut dapat dilihat menerusi kerjasama antara etnik dalam pilihanraya perbandaran dan pilihan raya umum. Pakatan UMNO dan MCA dalam pilihanraya perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952 telahmemenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Manakala pilihanraya umum 1955 menyaksikan Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi.

Memorandum Kemerdekaan
q  Tunku Abdul Rahman telah mengetuai satu rombongan ke London pada Februari 1956 untuk berunding mengenai kemerdekaan Malaya. Rombongan tersebut diwakili oleh 4 orang wakil raja-raja Melayu iaitu Datuk Panglima Garang, Dato’ Ahmad Kamil, Abdul Aziz Majid dan Dato’ Mohd Sheth; manakala wakil parti perikatan terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Dr. Ismail Abdul Rahman, Dato’ Abdul Razak Hussein dan Kolonel H.S. Lee dan wakil British Malaya.
q  Hasilnya satu perjanjian telah ditandatangani pada 8 Feb. 1956 yang dinamakan Perjanjian London. Aantara isi kandungan Perjanjian London ialah:
      British akan memberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
      Sistem pemerintahan T. Melayu adalah demokrasi dan Tanah Melayu adalah anggota Komanwel.
      British berhak menempatkan tenteranya di T. Melayu.
      Sebuah Suruhanjaya bebas bagi merangka perlembagaan T. Melayu.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu
Susulan daripada Perjanjian London, British memerintahkan supaya dirangka satu perlembagaan baru bagi Persekutuan Malaya yang merdeka. Sebuah Suruhanjaya telah ditubuhkan dan diketuai oleh Lord Reid. Manakala ahlinya terdiri daripada Sir Ivor Jennings, Sir William Mckell (Australia), B.Malik (India) dan hakim Abdul Hamid (Pakistan). Suruhanjaya tersebut dinamakan sebagai Suruhanjaya Reid mengambil sempena nama ketuanya iaitu Lord Reid.
Mesyuarat demi mesyuarat telah di adakan oleh Suruhanjaya tersebut dari bulan Jun hingga Oktober 1956 da telah mengadakan  telah menerima sebanyak 131 memorandum bertulis daripada parti politik dan juga orang ramai. Ini menunjukkan ianya telah mendapat persetujuan ramai baik Melayu dan bukan Melayu. Cadangan perlembagaan Suruhanjaya Reiod telah diterima oleh Majlis Kerja Persekutuan (Faderal Legislative Council) pada 15 Ogos 1957 dan mula dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957.
Berasaskan kepada beberapa perkara seperti kedudukan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua negara, orang Melayu diiktiraf sebagai penduduk asal negara ini dan diberi hak istimewa, bahasa Melayu dan agama Islam diiktiraf sebagai bahasa dan agama rasmi negara, pemberian kewarganegaraan kepada bukan Melayu yang lahir di Malaya selepas merdeka;  maka dianggap Perlembagaan Malaya bolehlah dikatakan satu perlembagaan berasaskan sistem monarki dan sistem demokrasi.
q  Orang Melayu dan bukan Melayu telah bersetuju mengenai beberapa perkara penting seperti hak kewarganegaraan, hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu. Inilah yang dikatakan kontrak sosial.
q  Prof Ahmad Ibrahim: Perlembagaan Malaysia digubal atas persetujuan ramai. Oleh itu ia bukan sahaja dokumen perundangan tetapi juga merupakan kontrak sosial antara etnik di Malaysia.
3.10 Unsur-Unsur Tradisi Perlembagaan dan Kontrak Sosial.
  1. Bahasa Melayu.
    • Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Ia mestilah dugunakan untuk maksud-maksud rasmi seperti dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu, Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan Negeri dsb. Walau bagaimana pun Perkara 152 (1) menyatakan penggunaan bahasa lain dalam pertuturan, pengajaran dan pembelajaran adalah tidak dilarang.
    • Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan juga tidak boleh dipersoalkan. Sekiranya wujud pihak tertentu menggunakan isu bahasa i.e untuk meraih undi, maka ia boleh dituduh melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1984, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Ordinan (kuasa-kuasa perlu) Darurat Nombor 45, 1970.
    • Kesan dari jaminan Perlembagaan Persekutuan dan dari usaha untuk memertabatkan Bahasa Melayu telah melahirkan Dasar Pelajaran kebangsaan dan juga penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia  pada tahun 1970.
  2. Agama Islam
    • Dimaktubkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan di mana “Islam merupakan agama bagi Persekutuan”, iaitu agama rasmi negara. Walau bagaimana pun Perlembagaan tetap memberi kebebasan terhadap agama lain iaitu “agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan (Perlembagaan Persekutuan 1995; Perkara 3(1).
    • Jaminan kebebasan beragama ini dinyatakan dalam Perlembagaan(Perkara 11)  :
      1. Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, dan tertakluk kepada fasal (4), mengembangkan agamanya.
      2. Tiada siapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dari cukai itu adalah diperuntukkan khas samada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud suatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.
      3. Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak:
        1. Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
        2. Menubuh dan menyelenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud agama atau khairat; dan
        3. Memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang
                                                                                (Perlembagaan Persekutuan 1995; Perkara 11:8)              
  • Namun (Perkara 11) juga menyatakan limitasinya iaitu:
    • Ia perlulah memelihara ketenteraman dan keharmonian masyarakat awam, kesihatan awam dan akhlak atau tingkah laku.
    • Seseorang tidak boleh dipaksa membayar apa-apa cukai atau bayaran untuk tujuan bukan agamanya.
    • Hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan dalam kes wilayah Persekutuan, jika penyebaran agama itu dibuat di kalangan mereka yang sudah menganut agama Islam.
  • Disamping menjelaskan status agama Islam sebagai agama Persekutuan, Perlembagaan juga menyatakan bahawa mazhab yang diiktiraf iaitu mazhab Shafei dari Ahli Sunnah Waljamaah
  • Natijah daripada pengiktirafan Islam sebagai agama persekutuan, maka kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri mempunyai  kuasa dan kebebasan untuk menubuh, menyelenggara institusi-insitusi Islam serta mengeluarkan perbelanjaan untuk tujuan perkembangan Islam (Perkara 12).
  • Dalam konteks ketua agama Islam, maka perlembagaan menyatakan Sultan adalah ketua agama di negerinya masing-masing. YDPA adalah ketua agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, P.Pinang, Sabah dan Sarawak.
  1. Hak istimewa Orang Melayu
      Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan Orang Melayu sebagai:
»      Beragama Islam
»      Bertutur bahasa Melayu
»      Mengamalkan adat istiadat Melayu
  • Perkara berkaitan dengan Hak istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak ialah:
    1. Perkhidmatan awam
       Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tanggungjawab YDPA atas nasihat Jemaah Menteri merizabkan untuk orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak suatu kadar bilangan jawatan yang berpatutan dalam perkhidmatan awam memandangkan sebelum ini amat kurang golongan tersebut memegang jawatan perkhidmatan awam.
    1. Ekonomi
       Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan Hak istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam bidang ekonomi.
       Jika sesuatu permit atau lessen yang dikehendaki bagi menjalankan perniagaan atau perdagangan, YDPA hendaklah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi mengeluarkan permit atau lessen tersebut. Ini bagi menolong golongan tersebut melibatkan diri dalam perniagaan memandangkan tidak ramai dari kalangan mereka yang terlibat dalam sector tersebut semasa penjajahan.
    1. Pendidikan.
       Fasal 2 Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan YDPA bertanggungjawab menentukan perizaban kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak seumpama biasiswa, bantuan dan keistimewaan-keistimewaan pelajaran yang diadakan oleh kerajaan persekutuan.
       Namun YDPA tidak boleh memberhentikan apa-apa biasiswa, bantuan kepada kaum-kaum lain.
    1. Tanah Rizab Melayu (Perkara 89 dan 90).
       Tanah yang dirizabkan untuk orang Melayu dan tidak boleh ditukar milik  dan diselenggarakan kepada bukan Melayu.
       Menurut Mohd Salleh Abbas, ianya dijelaskan dalam “Perkara 86 dan 90 berhubung dengan tanah rizab orang Melayu, yang mana memberi kuatkuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada berkenaan perkara melindungi tanah rizab orang Melayu dari diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.
       Walau bagaimana pun menurut beliau lagi, “pada amamalannya banyak tanah rizab Melayu telah dipindahkanke tangan orang bukan Melayu”.
v. Pemerintahan Beraja
       Institusi Raja terus dikekalkan mana sistem pemerintahan Malaysia dikenali sebagai pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
3.11 Rasional Perkara 153
  1. Pengorbanan orang Melayu dalam masalah kewarganegaraan.
       Semasa proses penggubalan Perlembagaan dilakukan semangat toleransi di antara orang melayu dan bukan Melayu ini dapat dilihat di mana orang Melayu sanggup berkorban dengan memberi kerakyatan kepada bukan Melayu. Orang Melayu menerima prinsip jus soli iaitu pengecualian mengetahui bahasa Melayu kepada bukan Melayu. Ini membawa kepada pemberian kerakyatan kepada 800,000 kepada orang Cina.
    1. Perkhidmatan awam.
       Semasa pemerintahan British, jawatn tinggi dipegang oleh British dan jawatan bawahan pula dipegang oleh orang India dan Sri Lanka yang boleh bertutur bahasa Inggeris. Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di kampong hanyalah sebagai petani sahaja.


    1. Ekonomi.
       Peruntukan ini adalah untuk menolong orang Melayu melibatkan diri dalam dunia perniagaan memandangkan amat sedikit orang Melayu terlibat dalam bidang tersebut sebelum merdeka.
       Kerajaan juga ingin menghapuskan dominasi dan pengenalan satu-satu etnik mengikut pekerjaan. Oleh itu kerajaan lancarkan DEB.
    1. Pendidikan
       Keistimewaan dalam bidang pendidikan ini adalah untuk mengelak orang Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi. Ini adalah kerana maju mundurnya ekonomi orang Melayu adalah bergantung kepada pendidikan yang mereka terima.
3.12 ISLAM DAN PERLEMBAGAAN
       Konsep negara berperlembagaan diperkenalkan oleh Rasulullah melalui penggubalan Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah). S. Madinah mengandungi 47 fasal.
       Ianya merupakan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.
Prinsip-prinsip penting Sahifah Madinah dapat diringkaskan:
       Penggantian ikatan kesukuan atau keetnikan digantikan dengan ikatan keislaman.
      Fasal ke2 menyatakan ” Sesungguhnya umat Islam di Yathrib dan Quraisy adalah satu umat.”. Kesatuan umat Yathrib tidak berdasarkan asal usul dan suku kaum, tetapi beradasarkan ikatan agama.Fasal ke25 kemudiannya pula menyebut bahawa orang-orang Yahudi dari Bani Auf adalah segolongan dengan orang-orang mukmin.” Ini bermakna Yahudi juga dikira sebahagian dari umat Madinah.
       Pengiktirafan semua etnik terhadap Rasulullah sebagai ketua negara Madinah.
      Fasal ke23 menyebut ”Sekiranya berlaku perselisihan faham  antara kabilah atau etnik dalam satu-satu perkara, maka ianya hendaklah diselesaikan mengikut agama Islam dan dirujukkan kepada Rasulullah”. Ini akan memberi keadilan kepada semua kabilah atau etnik tanpa mengira asal usul mereka.
      Penekanan kepada prinsip persamaan dan keadilan kepada semua orang tanpa diskriminasi.
      Fasal ke 15 dengan jelas menyatakan bahawa orang-orang yang beriman, orang-orang yang lemah akan diberi perlindungan supaya menjadi kuat. Perlindungan ini tanpa mengira kabilah atau puak.
      Fasal ke 16 ”Orang-orang Yahudi yang mengikuti langkah kami, akan memperoleh pertolongan dan hak yang sama. Mereka tidak akan dianayai dan dimusuhi.
       Kebebasan di dalam mengamalkan adat tradisi masing-masing.
      Setiap etnik dibenar meneruskan adat tradisi yang mereka warisi dari nenek moyang meraka. Ini dinyatakan dalam Fasal ke3 ”Kaum Mahajirin bebas melaksanakan kebiasaan mereka. Mereka menerima atau membayar tebusan darah antara mereka sendiri dengan cara yang baik dan adil”.
      Begitu juga fasal ke4 ”Suku Bani Auf bebas melaksanakan kebiasaan mereka, akan menerima dan membayar tebusan darah serta menebus tawanan mereka sendiri dengan cara yang baik dan adil, di antara orang-orang yang beriman
       Memerangi kemungkaran adalah tanggungjawab semua kabilah atau etnik.
      Fasal ke13 menyatakan : Orang-orang yang beriman dan takut kepada Allah harus melawan orang-orang yang melakukan kejahatan, dosa, rasuah, meskipun yang melakukan itu adalah anak atau kabilahnya sendiri.
  • Dilarang bantu membantu dalam kejahatan.
      Fasal ke 14 Orang-orang beriman tidak boleh membunuh sesama orang beriman untuk kepentingan orang kafir. Orang-orang beriman juga tidak boleh membantu orang kafir memusuhi orang beriman.

KESIMPULAN
Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, perlembagaan merupakan sebuah dokumen yang penting dalam sesebuah negara. Ia merupakan dasar yang menyatakan hala tuju dalam pemerintahan sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, proses penggubalannya memakan masa yang panjang dan mengambil kira pelbagai faktor  seperti kedudukan orang Melayu, kerakyatan etnik imigran, kedudukan sistem beraja, agama, bahasa dan sebagainya.
Pengorbanan orang Melayu dan penerimaan etnik imigran terhadap perkara-perkara yang terkandung dalam perlembagaan telah membawa kepada keamanan negara, perpaduan yang jitu di kalangan rakyat. Kesejahteraan dan keharmonian hidup ini membolehkan kerajaan menumpukan usaha untuk membangunkan negara ke arah menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan