Radiasi di jepun makin tersebar jauh?

PBUY reader.. Apa lah yang akan terjadi nanti..tsunami kali ini bukan sahaja meranap kan sebahagian peta jepun tapi ditambah pula dengan keadaan loji-loji nuklier yang semakin parah..tetapi pihak akhbar ada menyatakan keadaan loji-loji tersebut semakin stabil. Apapun kita tawakkal dan redha kehendak ilahi. Apa yang terjadi adalah punca dari tangan manusia itu sendiri. Jadi terima lah apa yang dah negara jepun lakukan untuk kemajuan bangsa mereka.

Baca lah artikel dari Lembaga perlesenan tenaga atom malaysia dibawah untuk keterangan lanjut kedudukan terkini..

PRESS RELEASE
KENYATAAN AKHBAR
Y.B. MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
MENGENAI KEMALANGAN NUKLEAR AKIBAT KEJADIAN
GEMPABUMI DAN TSUNAMI DI JEPUN 
25 Mac 2011, 3 petang
KEADAAN DI JEPUN

1.           Bermula 25 Mac 2011, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan hanya memberi taklimat kepada Negara-negara Anggotanya setiap dua hari  memandangkan keadaan 6 unit loji kuasa nuklear di Stesen Nuklear Fukushima Daiichi didapati semakin stabil. Dalam masa yang sama, IAEA sedang memberi tumpuan untuk menjalankan analisis yang terperinci berhubung kemalangan yang telah berlaku.
 
2.           Berdasarkan kenyataan oleh Nuclear and Industrial Safety Agency, Jepun, pada 24 Mac 2011,  seramai 97 orang dikesan mempunyai bacaan radioaktif melebihi 100,000 bilangan per minit (bpm) hasil dari saringan ke atas 75,429 orang di Wilayah Fukushima. Namun demikian, dengan menukar  pakaian yang tercemar, nilai ini telah menurun ke 100,000 bpm atau kurang dari nilai ini. Had yang ditetapkan pihak berkuasa Jepun adalah 100,000 bpm di mana nyahcemaran perlu dilakukan jika bacaan melebihi had yang ditetapkan. 
 
3.           Berdasarkan laporan dari IAEA pada 25 Mac 2011, jam 1.30 pagi waktu Malaysia, sampel air yang diambil pada beberapa lokasi sekitar 30 km dari persisiran pantai berdekatan Fukushima menunjukkan kehadiran Iodin-131 dan Cesium-137. Namun demikian, kehadiran Cesium-137 adalah di bawah had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Jepun manakala kehadiran Iodin-131 pula melebihi had yang ditetapkan. Iodin-131 mempunyai masa separuh hayat selama 8 hari, yang bermakna selepas 8 hari, bacaan akan berkurang menjadi separuh dari nilai asal.
 
4.           Bagi tempoh sehingga 26 Mac 2011, ramalan yang dibuat oleh pusat-pusat tindak balas kecemasan persekitaran di bawah Pertubuhan Meteorologi Sedunia menggambarkan pergerakan  bahan cemar radioaktif iodin yang terlepas dari loji nuklear Fukushima untuk tempoh 48 jam dari tarikh  24 Mac 2011 adalah ke arah timur laut/timur dan juga tenggara menghala ke Lautan Pasifik. Penyebaran bahan cemar ini menunjukkan ianya meliputi kawasan utara, timur dan juga tengah Pulau Honshu. Untuk tempoh tersebut , sebarang pencemaran radioaktif iodin, jika ada, adalah di persekitaran negara Jepun dan lautan Pasifik berdekatannya.
 
TINDAKAN OLEH MOSTI DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN-KEMENTERIAN BERKENAAN:  

1.           MOSTI masih meneruskan pemantauan secara aktif keadaan kemalangan nuklear di Jepun dan impak kepada negara kita melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Malawakil Vienna, Wisma Putra.
 
2.           Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di 6 lokasi seluruh Malaysia masih menunjukkan paras normal. 
 
3.           Berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi daripada badan antarabangsa iaitu International Civil Aviation Organisation (ICAO) dan International Air Transport Association (IATA), situasi di Jepun pada ketika ini tidak memberikan kesan kesihatan kepada individu. Walau bagaimanapun, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan keyakinan orang awam, Malaysia telah melakukan saringan ke atas penumpang-penumpang penerbangan dari Jepun di lapangan terbang antarabangsa utama. Saringan kedua (pemonitoran individu), hanya akan dilakukan jika terdapat bacaan yang melebihi kadar yang dibenarkan (0.5 mikro Sievert per jam). 
 
4.           Pada masa yang sama, tiada sebarang pengesanan dikesan sehingga hari ini oleh sistem Pemonitoran Portal (Radiation Portal Monitors – RPMs) yang sememangnya telahpun dipasang di KLIA sejak 2009.

5.           Namun demikian, mana-mana penumpang yang ingin mendapatkan khidmat pemonitoran cemaran radioaktif lebih lanjut bolehlah memohon kepada pegawai AELB yang sedang bertugas di KLIA, KKIA dan LCCT. 
 
6.           Sehingga kini pemantauan telah dilakukan terhadap 46 penerbangan dari Jepun ke Malaysia ke atas penumpang-penumpang dan anak kapal. Tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga hari ini.
 
7.           Sehingga kini seramai 28 individu telah datang ke AELB dan Agensi Nuklear Malaysia untuk mendapatkan khidmat pemonitoran cemaran. Tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga hari ini.
 
8.           Dari segi keselamatan makanan, merujuk kepada laporan akhbar pada 24 dan 25 Mac 2011, beberapa negara seperti Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, dan Rusia telah mengharamkan pengimportan makanan dari beberapa wilayah yang tercemar dengan radioaktif di Jepun. Sehubungan itu, mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), KKM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengekalkan Pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas di bawah Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) di pintu-pintu masuk terhadap semua produk makanan dari Jepun. Tindakan ini telah dilaksanakan dari peringkat awal lagi sejak berlakunya letupan reaktor nuklear yang berlaku di Jepun.Produk makanan tersebut hanya akan dilepaskan untuk dijual dalam negara sekiranya mematuhi tahap bahan radioaktif yang dibenarkan.
 
9.           Sehingga kini, sebanyak 27 sampel telah dianalisis dan didapati kesemuanya mematuhi tahap kandungan bahan radioaktif yang dibenarkan.
 
10.       Oleh itu, pengguna tidak perlu bimbang dengan makanan yang dijual di pasaran dan yang diimport. KKM akan sentiasa memantau keselamatan produk makanan dari masa ke semasa termasuk produk makanan yang diimport dari negara Jepun.
 
11.       MOSTI menasihatkan sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak bimbang dan tidak mempercayai khabar-khabar angin dari sumber yang tidak berasas.   

12.     Bagi sebarang pertanyaan, bolehlah dirujuk kepada Pusat Maklumat 
Radiologi AELB melalui talian Hotline AELB 1 800 88 7999 



13.     Maklumat teknikal boleh diperolehi di laman web;  
a)     Laman Web IAEA (www.iaea.org)
b)     Laman Web MOSTI (www.mosti.gov.my)
d)     Laman Web Nuklear Malaysia (www.nuclearmalaysia.gov.my)
e)     Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my)
f)      Laman Web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (http://fsq.moh.gov.my)

life priced,do not fight,peace no war

Tiada ulasan:

Catat Ulasan